Ya Allah , ya Tuhan kami, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kami berhimpun pada hari ini berdoa memohon rahmat dan hidayah dari-Mu. Semoga dengan rahmat itu ,Engkau berikan petunjuk kepada kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau memperbaiki urusan Agama dan dunia kami.Ya Allah, ya Tuhan kami yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan, kurniakanlah taufik dan hidayah-Mu kepada kami, restuilah perancangan kami, bimbinglah kami dengan petunjuk-Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian dari segala mala petaka dan sifat-sifat yang keji. Selamatkanlah kami sekalian dari perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan . Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar negara bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan.Ameen.

Wednesday, March 2, 2011

KEUTAMAAN BUDI PEKERTI YANG BAIK

Maksud Hadis Rasulullah S.A.W:
Dari al‐Nawwas bin Sam’an r.a., Nabi S.A.W bersabda:
“Kebaikan adalah budi pekerti yang baik. Dosa pula adalah perkara yang mencetuskan kegusaran pada diri dan engkau membenci orang lain mengetahuinya”.
(Hadis Sahih diriwayatkan oleh Muslim)

Pengajaran Hadis:

  • Hadis ini menggesa umat Islam supaya berakhlak mulia kerana ia merupakan ciri kebaikan yang terbesar.
  • Akhlak mulia itu dapat dinilai dengan cara mempamerkan budi pekerti yang baik dalam urusan seharian.
  • Tanda seseorang itu telah melakukan dosa ialah dirinya akan sentiasa berasa gusar dan dia berasa benci jika  orang lain mengetahui apa yang dilakukan olehnya.
  • Dalam urusan kerja seharian, kita boleh mengetahui sama ada perkara yang kita lakukan itu baik ataupun tidak berdasarkan hadis ini.
  • Sebagai seorang pekerja bank, mempamerkan budi pekerti yang baik kepada pelanggan adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
  • Dengan budi pekerti yang baik, pelanggan akan berasa senang dan selesa untuk berurusan dengan kita. Inilah contoh perkhidmatan pelanggan yang terbaik di dalam sesebuah institusi Islam.

BALASAN BAGI ORANG YANG MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN

Maksud Hadis Rasulullah S.A.W:
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda:
“Barangsiapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya Allah S.W.T akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat. Barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, pasti Allah S.W.T akan meringankan penderitaannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, pasti Allah S.W.T akan menutup keaibannya di akhirat kelak. Allah S.W.T pasti akan menolong hambaNya selagimana hambaNya berusaha menolong saudaranya…”
(Hadis Riwayat Muslim)

Pengajaran Hadis:


  • Kelebihan membantu melepaskan kesusahan orang beriman, sama ada pada anggota badan mahupun harta  mereka, adalah antara sebab untuk selamat daripada bebanan di hari Qiamat.
  • Sesiapa yang meringankan beban orang lain, lebih‐lebih lagi orang berada dalam kesusahan, Allah S.W.T akan memberikan dua balasan kepadanya iaitu kemudahan di dunia dan kemudahan di akhirat. Ini adalah janji Allah S.W.T dan Rasul‐Nya.
  • Allah S.W.T akan menolong orang yang membantu seseorang yang lain dalam perkara kebaikan dan  ketaqwaan, bukan perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan.
  • Dalam hubungan kita sesama saudara yang lain kita perlu sentiasa menutup keaibannya. Sudah pasti sebagai balasannya Allah S.W.T akan menutup aibnya di akhirat nanti.
  • Dalam konteks kita sebagai pekerja bagi sesebuah organisasi, kita perlu sentiasa membantu rakan‐rakan   sekerja yang lain khususnya mereka yang berada di dalam kesusahan serta menjaga aibnya.
  • Kerjasama antara satu sama lain amat penting untuk kemajuan sesebuah institusi.
  • Janganlah kita mempunyai sikap pentingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keadaan orang lain.
  • Setiap satu kebaikan yang kita lakukan pasti akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
  • Realiti hidup masyarakat pada hari ini, kebanyakan mereka lebih suka untuk menjatuhkan orang lain dan   mementingkan diri sendiri daripada sama‐sama membantu untuk mencapai kejayaan.