Dari Abu ‘Abbas, Abdullah bin ‘Abbas r.a: Pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah S.A.W (di atas haiwan tunggangannya), lalu sabda Baginda: “Wahai anak, aku ingin mengajar kepada kamu beberapa perkara: Peliharalah Allah S.W.T, nescaya Dia akan memelihara kamu. Peliharalah Allah S.W.T, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama‐samamu. Jika engkau memohon, pohonlah pada Allah S.W.T semata‐mata. Jika engkau meminta pertolongan, mintalah pada Allah S.W.T semata‐mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kamu sesuatu manfaat , nescaya mereka tidak mampu memberi suatu manfaat pun melainkan dengan suatu yang telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T untuk kamu. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu sedikitpun melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah S.W.T. Pena telah diangkat dan lembaran catatan amal telah pun kering.”
(Riwayat at‐Tirmizi, menurut beliau hadis ini dinilai Hasan Sahih)
Pengajaran Hadis:
- Hadis ini menjelaskan bahawa segala yang berlaku di muka bumi adalah kehendak daripada Allah S.W.T dan Dia berkuasa ke atas semua makhluk ciptaannya. Allah S.W.T adalah satu‐satunya tempat pergantungan kita.
- Sesiapa yang mengingati Allah S.W.T ketika sihat, kaya, lapang dan senang, maka Allah S.W.T akan mengingatinya ketika dia sakit, miskin, kesempitan dan susah.
- Orang beriman mestilah bermohon kepada Allah S.W.T bukan kepada selainNya. Al‐Quran menyebut bahawa tiada orang yang lebih sesat daripada orang yang bermohon dan bergantung kepada selain daripada Allah S.W.T untuk membantunya.
- Setiap umat Islam wajib beriman dengan qadha dan qadar. Dengan ini kita akan sentiasa redha dengan apa yang berlaku ke atas diri kita sama ada baik atau buruk.
- Dalam kehidupan sebagai pekerja sebuah institusi Islam, kita akan sentiasa bersaing dengan institusi lain yang lebih gah dan besar. Dalam hal ini, kita perlu tanamkan rasa yakin di dalam diri kita bahawa tidak ada kuasa yang boleh memberi mudharat kepada kita melainkan Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment